antara kuasa, kesetiaan dan keadilan...
sultan, tuah dan jebat,darjat menjadi ukuran,
kepatuhan menjadi pegangan,
darah menjadi percaturan...
sultan, tuah dan jebat,
antara bertiga,
dua berkawan, satu menjadi tuan,
satu mati bertahan, dua hidup tak keruan...
sultan, tuah dan jebat,
bicara menjadi debat,
pegangan menjadi hujah,
akhirnya satu nyawa musnah...
sultan, tuah dan jebat,
satu berhati daulat,
satu berhati setia,
satu berkorban nyawa...
sultan, tuah dan jebat,
mereka sama,
warna, bangsa dan agama,
kenapa bersengketa....
sultan, tuah dan jebat,
yang berkuasa mahu dipuaskan,
yang berkemahuan rela berkorban,
yang percaya pada keadilan hilang kawan...
sultan, tuah dan jebat,
yang dipatuhi tidak boleh disangkal,
yang setia rela mengalah,
yang adil tidak mahu berserah...
sultan, tuah dan jebat,
berkuasa tidak menjamin kesetiaan,
kesetian tidak menjamin isi habuan,
keadilan tidak bermaksud hati diturutkan...
sultan, tuah dan jebat,
untuk yang mendengar, melihat dan mentafsir,
bukan sekadar sejarah hiasan,
tapi buat bekalan santapan warisan...
sultan, tuah dan jebat,
sebuah hikayat,
atau satu peringatan,
atau hanya seloka buatan...
<< Home